Monday, June 23, 2008

~PENDAHULUAN PENYEJUKAN DAN PENYAMANAN UDARA~

Menservis Peralatan Penyejukan dan Penyamanan Udara ialah satu daripada mata pelajaran elektif
vokasional di sekolah menengah atas dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).
Murid yang mengikuti mata pelajaran ini menguasai kemahiran menservis peralatan penyejukan dan
penyamanan udara domestik dan kereta. Menservis Peralatan Penyejukan dan Penyamanan Udara
adalah untuk menyediakan bidang latihan, memperkembangkan asas-asas kemahiran vokasional dan
kemahiran hidup pelajar bagi tujuan pekerjaan. Penggubalan mata pelajaran ini merupakan usaha
Kementerian Pendidikan ke arah mempertingkatkan kemahiran praktis dan menanam minat
keusahawanan di kalangan murid dalam industri perkhidmatan.
Dalam Mata pelajaran ini, murid menservis empat jenis peralatan penyejukan dan penyamanan udara
iaitu peti sejuk domestik, penyaman udara tingkap, penyaman udara jenis pisah dan penyaman udara
kereta. Mereka mempelajari cara penggunaan peralatan ujian, komponen peralatan penyejukan dan
penyamanan udara, litar pendawaiannya serta sistem kawalan manual dan automatik. Murid
menguasai kemahiran mengesan kerosakan, membaikpulih, menyenggara dan memasang peralatan
ini. Penekanan juga diberi kepada amalan keselamatan dan etika kerja semasa bekerja.
Mata pelajaran ini dirancang khas untuk murid yang mempunyai kecenderungan dan minat
menceburkan diri dalam menservis peralatan penyejukan dan penyamanan udara. Dengan
kemahiran dan pengalaman yang diperolehi, murid boleh menjalankan perniagaan sendiri, bekerja
sebagai mekanik menservis peralatan penyejukan dan penyamanan udara.

No comments: